Dua pemain yang dipinjam, Mohd Failee Mohd Ghazli dan Muhammad Rafiuddin Mohd Roddin sah menjadi milik Perak untuk kempen bola sepak Liga M musim 2012.
Pengesahan mengenai pengambilan mereka itu dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin pada sidang akhbar sempena kongres tahunan ke-53 persatuan itu di Ipoh, semalam.
“Kedua-dua pemain sudah tamat kontrak mereka pada 30 September lalu dan menyatakan kesediaan untuk menyarung jersi Perak bagi tahun 2012.
“Justeru PAFA sudah mengikat mereka agar dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap tugasan pada suku akhir Piala Malaysia nanti,” katanya. Failee yang berasal dari Selama, Perak kini menjadi `buah mulut’ peminat Seladang berikutan kejayaannya menyumbangkan empat gol dalam enam perlawanan.
Manakala Rafiuddin turut memberi sumbangan berkesan untuk membantu Perak muncul juara kumpulan A serta berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah dalam kumpulan A itu.
Zainol yang berbangga dengan kejayaan Perak mara ke suku akhir trofi unggul itu, berharap pemain Perak akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pertemuan suku akhir menentang Selangor itu.
“Perlawanan ini cukup penting dan saya berharap pemain tidak leka dibuai mimpi. Pencapaian lalu tidak boleh dijadikan sandaran kerana ini permainan baru.
“Kesilapan akan mebawa padah dan hanya ada satu peluang kerana jika kalah akan tersingkir terus,” katanya.
Malah beliau memberi peringatan kepada pemain Perak agar tidak menjadi mangsa kebangkitan pasukan ‘Red Giants’ di bawah kendalian jurulatih barunya, P Maniam.
Justeru Zainol berkata Perak akan turun selaku pasukan `underdog’ menyedari tradisi cemerlang yang dimiliki oleh pasukan gergasi Lembah Klang itu yang memburu misi meraih kejuaraan buat kali 33 itu.
Namun katanya, Perak juga mempunyai matlamat terutama kerana sudah lama tidak mencapai kejayaan memberangsangkan dalam kancah Liga M dan berharap pemain mampu merealisasikan impian itu.
Mengenai ganjaran kepada pasukan berikutan kejayaan ke suku akhir, Presiden PAFA itu menjelaskan bahawa pihaknya mempunyai kaedah tersendiri memberi ganjaran kepada pemain dan yakin pemain Perak menerima lebih daripada RM2,000 seorang setakat ini.
“Kita punyai cara sendiri untuk memotivasi pemain dan setakat ini ia ternyata berkesan berdasarkan pencapaian setakat ini,” katanya.
Artikel asal di myMetro.
Foto oleh Yusrie Zulkifli (Perak F.A.).
Psst: Harap memberi persembahan terbaik dalam setiap game..ape-ape pun..Kita berentap dulu dalam Suku Akhir Piala Malaysia. Bawa balik Piala Malaysia ke Bumi Perak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment