pergerakan Pesawat dan kapal
KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam melancarkan Operasi Piramid bagi membawa keluar lebih 11,000 rakyat, terutama pelajar dari negara bergolak Mesir ke Jeddah, Arab Saudi dengan menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat dan kapal syarikat swasta ke negara itu.Operasi diketuai Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud, membabitkan tiga pesawat C130 Hercules TUDM, sebuah pesawat Boeing 747 MAS dan Airbus A320, A330 dan A340 milik AirAsia, kapal KD Bunga Mas 5 TLDM yang berada di Teluk Aden, berhampiran perairan Somalia serta kapal dagang Malaysia International Shipping Cooperation Berhad (MISC), dijangka membawa keluar rakyat Malaysia dalam tempoh empat hingga lima hari, mulai jam 6 pagi ini waktu Mesir (kira-kira jam 12 tengah malam tadi waktu Malaysia).
C130 Hercules akan berulang alik mengangkut mereka ke Jeddah dan ditempatkan di asrama Tabung Haji di sana sebelum pesawat komersial menerbangkan mereka pulang ke negara ini.
Pesawat pertama AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.30 petang semalam, diikuti C130 Hercules masing-masing pada jam 3 petang semalam dan 9.30 serta 10.30 malam tadi. MAS dijadualkan terbang jam 9.30 pagi ini dan dijangka tiba di Kaherah lapan jam selepas itu.
Operasi yang membabitkan kerjasama Kerajaan Malaysia dengan Indonesia itu membolehkan sesetengah rakyat Malaysia dan Indonesia di Kaherah, Iskandariah dan Mansourah menaiki pesawat MAS, AirAsia, TUDM dan Garuda yang dimiliki Kerajaan Indonesia dan sebaliknya.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata operasi dilancarkan berikutan keselamatan di Kaherah sudah sampai pada tahap merah atau berbahaya dan kerajaan tidak mahu menunggu lebih lama untuk membawa keluar rakyat Malaysia.
Beliau berkata, perjalanan mereka dari tempat penginapan di Kaherah, Iskandariah, Mansourah dan beberapa tempat lain ke lapangan terbang serta pelabuhan, diuruskan 20 pegawai Kedutaan Malaysia dengan diselenggara Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay.
“Kita sudah meminta Kerajaan Mesir memberi jaminan keselamatan sepanjang perjalanan ke lapangan terbang dan pelabuhan,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu semalam.
Mengenai rungutan orang ramai, terutama waris pelajar yang mendakwa kerajaan lambat bertindak, beliau berkata, kesukaran sistem perhubungan menerusi internet di Mesir menimbulkan pelbagai kerumitan kepada Wisma Putra untuk berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di sana.
“Saya sendiri tidak ke Mesir kerana jika ke negara itu, sukar untuk saya berhubung, apatah lagi dengan kedutaan negara lain kerana dalam keadaan begini, kita amat memerlukan kerjasama kedutaan negara lain. Bagaimanapun, Wisma Putra memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia walaupun ada beberapa kejadian penginapan mereka cuba dicerobohi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa tidak ke Mesir semata-mata untuk membawa anak mereka keluar kerana ada ibu bapa yang sudah berbuat demikian, tetapi terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
Mengenai kesesakan talian Kedutaan Malaysia di Mesir dan bilik operasi Kementerian Luar di Putrajaya, Anifah berkata, ibu bapa harus bersabar kerana talian itu digunakan ribuan pengguna.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kapal dagang MISC yang berada di beberapa pelabuhan negara Teluk diminta membantu bagi mempercepatkan operasi.
“Kapal ini bersama KD Bunga Mas 5 akan bergerak secara konvoi ke Jeddah secepat mungkin. Pegawai kedutaan Malaysia di Mesir sedang menguruskan visa sementara bagi membolehkan pelajar kita ke Arab Saudi sebelum dibawa pulang ke Malaysia menaiki pesawat komersial.
“Seboleh mungkin kita akan bawa keluar semua pelajar Malaysia dan kerajaan meminta semua pihak termasuk NGO turut membantu, termasuk menggunakan kepakaran masing-masing,” katanya.
Ahmad Zahid berkata Operasi Piramid membabitkan masing-masing 30 orang daripada Kementerian Pertahanan dan pejabat kedutaan Malaysia di Mesir dan 20 daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar serta Jabatan Penuntut Malaysia.
Madinatul Hujaj semakin dipenuhi penuntut Malaysia
JEDDAH 6 Feb. - Tabung Haji dan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi akan memikirkan kaedah lain bagi menempatkan para penuntut Malaysia dari Mesir sekiranya jumlahnya melebihi keupayaan pusat transit Madinatul Hujaj, di sini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sehingga kini lebih 3,600 orang penuntut telah ditempatkan di pusat transit itu yang boleh menampung sehingga 4,000 orang pada satu-satu masa.
“Bagaimanapun ini bukan menjadi masalah kerana pihak Tabung Haji berpengalaman menguruskan sehingga hampir 30,000 orang jemaah haji setiap kali musin haji.
"Kita sedang menambah bilangan tilam dan bantal yang boleh digunakan pelajar kita. Pada Ahad penghantaran pulang sebahagian pelajar akan membolehkan kita mengurangkan kepadatan dan menerima pelajar lain yang baru sampai dari Kaherah,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini. - Bernama
Diharapkan seluruh rakyat Malaysia sampai dengan selamatnya..Cukuplah segala spekulasi dan salah menyalahi antara pihak kerana tidak membantu langsung dalam permasalahan ini. apa yang penting kerajaan sudah menggerakkan misi bantuan dan kita harus meyokong segala tindakan yang terbaik. Permasalahan politik ini adalah di Mesir dan kita sebagai orang luar hanya melakukan untuk hak kita sahaja, politik Mesir, Biar rakyat Mesir tentukan....
Melaporkan Dari Kampung tercinta