Sampai Gugur Bintang Di Langit, Islam Tetap Dijunjung Tinggi

Salam Pembuka Kata

Followers

Visitor Counter

Thursday, April 14, 2011

Mindanao- MILF, Perjuangan yang tiada akhirnya..















Bagi sekumpulan wartawan tempatan yang dibawa meninjau perkembangan di kawasan bergolak, Mindanao, selatan Filipina, laluan yang harus mereka tempuhi agak sukar dan berliku-liku.


Namun bagi Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Latif Ahmad yang mengetuai misi lawatan dua hari itu merasakan lawatan ke kawasan bergolak itu tidaklah sesukar mana walaupun pesawat yang digunakan bukanlah pesawat komersial.
Wartawan serta tetamu yang dibawa khas dari Kuala Lumpur tiba di Cotabato pada pagi Sabtu 8 April. Dr.Latif tiba dari Manila dua jam kemudian kerana sebelum itu iaitu bermula 7 April, beliau ada program lain di Manila.



Padat dengan program sejak tiba di Manila, Dr.Latif dan rombongan Kementerian Pertahanan diraikan dalam majlis makan malam oleh Kedutaan Malaysia. Duta kita di sana Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad selaku hos kemudian mengiringi Timbalan Menteri Pertahanan itu sehinggalah ke Davao City.

Di Manila, Dr.Latiff menemui penasihat Presiden mengenai perjanjian damai (PAPP) serta berkunjung ke pejabat kedutaan Arab Saudi dan menemui Secretary of National Defence.
Mungkin sewaktu di Manila, keadaan tidaklah seperti di Mindanao kerana pusat pentadbiran Manila itu ialah sebuah kota metropolitan berbanding dengan Mindanao yang masih jauh tertinggal dalam bidang pembangunan.



Mindanao seperti umum fahami pernah menjadi milik Bangsamoro yang beragama lslam beberapa ratus tahun lalu. Malah perkataan Moro yang berasal dari Moors adalah gelaran diberikan oleh penjajah Sepanyol sewaktu negara itu menjajah Filipina.

Mindanao yang dianggap kawasan turun temurun Bangsamoro telah diserahkan kepada kerajaan Filipina secara haram dan tidak bermoral oleh Amerika Syarikat pada 4 Julai, 1946 apabila Amerika memberikan kemerdekaan kepada Filipina. Sejak dari tarikh itulah maka Mindanao mulai dimasuki oleh orang bukan-Islam dari lain-lain pulau yang akhirnya memonopoli perniagaan hartanah serta lain-lain perniagaan.
Kami dibawa ke ibupejabat International Monitoring Team (IMT) atau kenali dalam bahasa kita, Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao Enam (TPA-M6) pada sebelah tengahari untuk jamuan makan serta untuk sidang akhbar.



Misi keenam ini diketuai oleh pegawai dari Malaysia, Mej. Jen. Datuk Mahdi Yusoff sejak 11 Mac lalu mengambil alih dari ketua missi yang lama, Men. Jen. Datuk Baharum Hamzah (28 Feb 2010-11 Mac, 2011).

Sepanjang berada di Mindanao, Datuk Baharum mengiringi Datuk Dr. Latif seperti seorang ADC dan kerana pengalaman luasnyalah maka kadangkala dia turut diminta memberikan komen mengenai pergolakan di kawasan berkenaan.


Misi pengaman yang dianggotai Malaysia, Brunei, Libya, Jepun, Kesatuan Eropah dan Norway mengandungi 43 anggota di mana 20 anggota adalah dari negara kita.
Sejak dimulakan pada 24 Ogos 2004, ketua missi pertama ialah Men Jen Datuk Zulkifeli Mohd Zin, kedua, Men Jen Datuk Soheimi Abas; ketiga, Men Jen Datuk Md Ismail Ahmad Khan; dan keempat, Men Jen Datuk Mat Yasin Mat Daud.




Pengalaman menaiki pesawat Hercules Charlie 130 atau juga dikenali C-130 milik Tentera Udara diRaja Malaysia (RMAF) tidaklah sama dengan pengalaman menaiki pesawat komersial. Namun kami tetap sampai ke destinasi dengan selamat.

Menurut bos Agendadaily, Rosli Ismail, walaupun seseorang itu memiliki wang yang banyak, dia masih tak berpeluang menaiki C-130 berbanding dengan peluang menaiki pelbagai pesawat komersial. “ Hangpa bernasib baik, hangpa dijemput dan berpeluang menaiki pesawat ini” ujarnya sewaktu memaklumkan rancangan lawatan ke Mindanao.


Ketika mula dibina di kilang Lockheed, Burbank, California, Amerika Syarikat, pesawat C-130 ini dinamakan sebagai Hercules, sempena watak mitos Greek yang perkasa. Sesuai dengan nama itu, hari ini pesawat yang turut digunakan oleh Angkatan Tentera negara kita ini telah muncul sebagai lagenda dunia. Malah lebih daripada 2100 buah C-130 telah dibina dan digunakan oleh 60 buah negara di seluruh dunia.



Selain daripada mengangkut penumpang sebagaimana yang kami wartawan alami untuk ke Mindanao ini, pesawat C-130 juga untuk: mengangkut senjata ketika di medan perang; menggugurkan pasukan payung terjun; menggugurkan bekalan makanan dan perubatan termasuk dalam misi kemanusiaan.
Selain berkemampuan beroperasi sebagai pesawat pengangkut bahanapi dengan keupayaan memindahkan bahanapi kepada pesawat lain ketika di udara, C-130 juga digunakan untuk membawa sistem amaran awal di udara dan tinjauan maritim.
Dalam pada itu pesawat ini juga digunakan secara meluas dalam misi keselamatan awam. Ciri serba guna pesawat ini mungkin di sebabkan rekabentuknya yang unik di mana pintu kargonya boleh dibuka seperti kita membuka bonet kereta.




Timbalan Menteri Pertahanan dan isteri, Datin Hajah Zuraidah binti Endot juga menaiki pesawat C 130 sewaktu berlepas dari Mindanao untuk program lain di Davao City pada sebelah petang hari Sabtu (9 April) dan menggunakan pesawat yang sama keesokan harinya untuk ke Kota Kinabalu sebelum menukar ke pesawat komersial lain ke Kuching, Sarawak pula.
Lawatan kami ke Mindanao, di wilayah yang dikaitkan dengan keganasan iaitu Cotabato di mana pergolakan telah menelan ribuan nyawa dan menjejaskan kehidupan, mendapati penduduk di situ ingin turut menikmati keamanan seperti saudara mara mereka di Malaysia, Indonesia serta negara-negara lain ASEAN.

Lawatan kerja Timbalan Menteri Pertahanan telah membuka satu dimensi baru tentang betapa kewujudan keamanan perlu walaupun semua pihak yang terlibat harus berkorban sedikit sebagai harga sebuah keamanan itu. Ini sebagaimana yang disebut oleh Dr.Latif kemudian, “Mereka juga hendak menikmati kehidupan seperti mana kita menikmati kehidupan yang lebih sempurna.”




“Cuma barangkali oleh kerana sudah terlalu lama hidup di dalam keadaan ketegangan, keamanan bukan satu satu perkataan baru malahan mungkin bagi generasi tua, sekarangpun mereka merasakan, kini mereka juga hidup dengan aman” jelas seorang pegawai tentera kepada Agendadaily.

Bagi pembaca Agendadaily, lawatan Dr. Latif bukanlah lawatan sosial atau sekadar menghadiri majlis berbuka puasa dengan askar-askar kita yang berkhidmat di luar negara.

Mindanao masih lagi merupakan kawasan yang kalut dengan insiden pembunuhan rambang. Namun sebagaimana kami diberitahu tidak ada laporan mengenai pencabulan gencatan senjata setakat ini.


Cotabato dianggap kawasan yang sering dicemari dengan pertumpahan darah membabitkan penduduk yang bermusuhan sejak turun temurun.

Dendam adalah suatu yang sukar dipadam dari benak mereka dan kadangkala pembunuhan boleh berlaku kerana hal-hal yang remeh temeh. Tidak berapa lama dahulu, ramai penduduk terkorban akibat bertempur sesama mereka kerana tiga batang pokok kelapa ditebang oleh pihak yang tidak kenali. Pertengkaran berakhir dengan ledakan dari muncung senapang.




Saya sempat berbual dengan askar-askar kita yang menyertai missi kali ini. Mereka diberitahu bahawa untuk keluar di waktu siangpun, iaitu keluar dari markas, mereka terpaksa membawa “escort” manakala di sebelah awal malam hingga ke subuh, mereka dilarang (curfew) keluar dari markas.
Pada hari Ahad, sewaktu delegasi Dr.Latif berada di Davao City, sebuah akhbar tempatan The Philippine STAR pada halaman 6 memetik satu laporan dari Washington yang mendakwa pembunuhan di wilayah Mindanao didalangi pihak polis. Malah laporan itu menyebut kira-kira 132,577 PNP atau Philippine National Police masih dibayangi dengan tuduhan rasuah dari masyarakat.
Laporan Hak Assasi Manusia tahun lepas mengenai Filipina pula menyalahkan pihak berkuasa dan kumpulan anti kerajaan sebagai bertanggungjawab terhadap pembunuhan yang berlaku.



Kononnya 176 anggota Armed Forces of the Philippines (AFP) terkorban di dalam pertempuran dengan pihak pengganas dan pemberontak manakala 166 New People’s Army (NPA), serta 23 orang anggota Abu Sayyaf dan 11 orang MILF (Moro Islamic Liberation Front) turut terkorban
.

Kini, Suruhanjaya Hak Assasi (CHR) itu, menurut laporan dari Washington itu lagi, sedang menyiasat 53 aduan pembunuhan bermotifkan politik yang melibatkan 67 mangsa tahun lalu.

Dengan diiringi “escort”, delegasi Dr.Latiff yang menaiki pacuan empat roda memasuki kawasan ARMM yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Bandar Cotabato. Jalan ke sana berliku-liku dan bersimpang siur, dengan keadaan jalan raya yang memerlukan dana untuk diturap. Keadaannya seperti sebuah pemandangan di kampung di negara ini dengan pokok buah-buahan membarisi jalan dan sawah padi pula baru mahu menghijau.


Pejuang-pejuang MILF terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak dengan memakai pakaian seragam “tentera” dan lengkap bersenjata. Kira-kira 500 orang berbaris menyambut delegasi dari Malaysia dan setiap kali kenderaan Timbalan Menteri Pertahanan melintasi mereka, tangan kanan digunakan memberikan tabik hormat kepada tetamu.
Sesetengah pejuang dilihat usia mereka sudah melebihi separuh abad, manakala kumpulan muda pula, memberi harapan bahawa perjuangan mempertahankan bumi dan warisan mereka tidak pernah padam, yang kini dipersiap sebagai pengganti.’


Beberapa sepanduk kelihatan dipasang oleh MILF mengalu-alukan lawatan Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia itu. Menyambut di setiap sudut menuju ke markas MILF ialah pejuang-pejuangnya yang lengkap dengan pakaian seragam ala tentera dengan memegang berbagai-bagai senjata termasuklah rifel.
Dengan menggunakan bahasa Inggeris, Dr. Latif diperkenalkan oleh pemimpin MILF, Haji Murad Ebrahim kepada barisan pemimpin pertubuhan itu.

Dalam ucapan ringkasnya, Dr.Latiff menganggap dirinya adalah hamba Allah yang kecil tetapi mahu melihat keamanan wujud di kawasan bergolak itu. Beliau sedih kerana Bangsamoro atau Melayu Moro hidup dibalut kepayahan akibat pergolakan yang berlaku dan sangat berharap keadaan ini segera berakhir. “Kita menubuhkan IMT adalah bagi memastikan perdamaian dapat dicapai,” katanya.
Malah katanya, komitmen Malaysia dalam konteks perdamaian serius sehingga sewaktu beliau mahu melakukan lawatan ini, Perdana Menteri menyampaikan salam kepada mereka dan berharap apa juga perbedaan yang wujud, ia dapat diselesaikan dengan baik.

Dr. Latiff memberi contoh bagaimana perjanjian hudaibiyah antara Rasulullah dengan puak Quraish dapat dijayakan kerana Rasulullah sanggup bertolak ansur sehingga sanggup menggugurkan nama Nabi kepada Muhammad dengan puak ini.

“Saya berharap MILF dapat mengambil iktibar dari perjanjian hudaibiyah yang dijuruterai Rasullulah, ambillah semangat ini, dan saya percaya jika kita sanggup kalah sikit, akhirnya kita semua akan menang. Yang penting ialah jenerasi yang akan datang,” ujarnya.


Dengan nada yang agak keras Dr.Latiff berharap IMT ke-6 merupakan yang terakhir dan selepas ini semua pihak dapat hidup aman damai. Beliau berharap Mindanao tidak jadi macam Palestin yang perjanjian damai dengan Israel di zaman Yasser Arafat hampir menjadi nyata tetapi akhirnya Yasser buat keputusan untuk menolak.

“Sayang, mereka ada peluang untuk menandatangani perjanjian damai tetapi Yasser menolaknya, saya berharap ia tidak akan berlaku pada MILF pula,” katanya.
Dalam ucapan balas, pemimpin MILF itu berikrar untuk mencari titik perdamaian bagi menyelesaikan masalah Bangsamoro. ‘ Negotiation is the best solution,” kata Haji Murad sambil berharap kerajaan Malaysia dan rakyat negara ini mendoakan agar matlamat mereka itu tercapai. Merujuk kepada ucapan Dr.Latiff, Haji Murad berkata,” your advice is well taken .”-14/4/2011

-Agendadaily

saksikan sejarah Bangsamoro disini
Sejarah membuktikan Bangsamoro adalah penduduk asal Mindano..Semoga Allah memberi kekuatan dan kemenangan Kepada para perjuang.

Psst: Perjuangan Bangsamoro bukan semata-mata bangsa, tetapi mengenai hak seperti yang dituntut oleh Islam. Bersyukurlah Kita Umat Islam Melayu Malaysia....Thanks to Regina Tonggol, My Filipino friend because willing to share about your Country...Mahal kita...Terus Sokong Bangsamoro

No comments: