Wednesday, February 16, 2011
Salam Maulidul Rasul
Assalamulaikum,
Rasanya belum terlambat untuk aku mengucapkan selamat menyambut maulidul rasul.
Selawat dan salam keatas Rasul junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
Semoga Kita umat islam akan terus maju kehadapan, tunjukkan lah rasa kasih sayang kita kepada rasulullah.
Pertama
Mengikuti deen (agama dan cara hidup) Rasulullah s.a.w., mengamalkan sunah baginda, mematuhi perkataan dan perbuatannya dalam segala keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Sentiasa mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah dalam segala keadaan, sama ada ketika susah ataupun senang, sewaktu sedih ataupun gembira. Allah s.w.t. menegaskan hal ini dalam firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah pasti akan mengasihi kamu. Dan ingatlah, Allah maha pengampun lagi maha mengasihani. (Ali-Imran: 31)
Malah, orang yang benar-benar mengasihi Nabi s.a.w. akan mendahulukan dan mengutamakan syariat baginda daripada dorongan kehendak dan nafsunya sendiri. Situasi ini telah dibuktikan dengan pengorbanan yang cukup besar oleh orang-orang Ansar terhadap saudara seagama mereka iaitu orang-orang Muhajirin. Allah merakamkan peristiwa ini dalam firman-Nya: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat memerlukan.” (Al-Hasyr: 9)
Kedua
Mereka yang mencintai Nabi s.a.w. akan sentiasa melazimkan diri mengingati dan menyebut selawat ke atas baginda. Selawat kepada Rasulullah s.a.w. merupakan ungkapan kerinduan serta luahan rasa cinta kasih seorang umat kepada baginda. Islam memberi ganjaran yang lumayan kepada orang yang banyak mengucapkan selawat ke atas Rasulullah kerana baginda menjanjikan 10 kali ganda balasan rahmat daripada Allah kepada mereka yang berselawat ke atas baginda. Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56)
Memperbanyakkan selawat ke atas baginda adalah perkara sunat yang menjadi bukti betapa kasihnya seorang umat kepada Rasulnya. Tatkala kita mendengar nama baginda, maka sunat bagi kita menyebutkan selawat ke atas Rasulullah. Baginda sendiri menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa sesiapa yang berselawat ke atas baginda sekali, maka akan diganjarkan kepada mereka yang berselawat itu dengan 10 ganjaran.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi s.a.w. lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah, bilakah akan berlaku hari kiamat?” Jawab baginda, “Apakah yang telah engkau sediakan untuk menghadapi hari kiamat?” Jawab lelaki itu, “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan sembahyang, berpuasa (puasa sunat) atau bersedekah, tetapi aku amat kasih akan Allah dan Rasul-Nya.” Maka sabda baginda, “Engkau akan bersama dengan yang engkau kasihi.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Ketiga
Antara tanda orang yang mencintai baginda ialah membenci apa yang dibenci oleh Rasul-Nya, memusuhi orang yang memusuhinya, menentang mereka yang menyalahi sunahnya dan melakukan perkara bid’ah dalam agamanya serta memandang berat terhadap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.
Allah s.w.t. menjelaskan dalam firman-Nya: Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka atau kaum keluarga mereka sendiri. (Al-Mujadalah: 22)
‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam tafsiran ayat di atas ialah sahabat-sahabat baginda yang telah membunuh orang yang mereka kasihi (bapa, bapa saudara, saudara kandung dan ahli keluarga) dalam peperangan fi sabilillah kerana keingkaran yang jelas terhadap Islam serta penentangan mereka yang keras terhadap dakwah Rasulullah. Para sahabat Rasulullah melakukan semua ini semata-mata kasih kepada baginda dan mengharapkan keredaan Allah.
Ibnu Abbas menyatakan, antara sahabat baginda yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah Abu Ubaidah yang telah membunuh bapanya dan Mus’ab ibnu ‘Umair yang telah membunuh saudaranya dalam peperangan Uhud. Saidina Ali dan sahabat-sahabat yang lain sanggup membunuh ahli keluarga mereka, manakala Saidina Umar sanggup membunuh bapa saudaranya Al-‘As ibnu Hisyam dalam peperangan Badar. Kesemua mereka yang terbunuh ini adalah kaum keluarga para sahabat yang mengingkari perintah Allah serta melancarkan perang terhadap Rasulullah dan umat Islam.
Keempat
Mengasihi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah dan dengannya manusia mendapat petunjuk. Baginda sendiri mengikuti petunjuk al-Quran sehingga isteri baginda Aisyah r.a. mengungkapkan bahawa ‘akhlak baginda adalah al-Quran’. Tanda kita kasih terhadap al-Quran ialah dengan membacanya, beramal dengannya, memahami tafsiran dan tuntutannya, menjunjung suruhannya serta meninggalkan larangannya.
Firman Allah yang bermaksud, Dan apa juga perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua larangan daripada kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. (al-Hasyr: 7)
Adalah menjadi kewajipan terhadap umat baginda yang kasih dan sayang terhadap baginda untuk sama-sama memelihara akidah, mendaulatkan dakwah, menghidupkan syariat dan sunah baginda secara syumul. Syariat dan sunah Rasulullah perlu diterima secara mutlak dan perlu dilaksanakan sewajarnya tanpa sebarang alasan dangkal atau sebab-sebab yang tidak sepatutnya (yang hanya berpandukan logik akal semata-mata). Jika semua ini dapat kita laksanakan sambil mengharapkan keredaan Allah, ini bermakna kita telah memiliki tanda-tanda orang yang kasih dan cinta kepada baginda.
Sesungguhnya telah jelas kepada kita bahawa Rasulullah adalah insan yang paling layak dan wajib dikasihi dengan sebenar-benarnya di sisi syarak.
psst:Semoga kita mendapat syafaat rasulullah di akhirat kelak insyallah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment